Hadith-hadith Mawdhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:
1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat hadith itu sendiri
Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdul Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.
2. Perawinya terkenal pembohong
Sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang tsiqah (dipercayai).
3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah
Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadith dari seorang guru, yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu, atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia, ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tersebut.
Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada Ibn Hibban, maka Ibn Hibban bertanya:
“Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibn Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”
Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar hadith-hadith Nabi dari Nabi SAW atau dari sahabat-sahabat Nabi SAW, padahal mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi SAW dan para sahabat meninggal dunia.
4. Motif yang mendorong membuat hadith palsu itu
Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau sebagainya.
Contoh-contohnya:
"Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang."
Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.
"Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan."
Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab Syafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriyyah.
Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Mawdhu’ pada sanadnya. Selain itu Hadith Mawdhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:
1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal
2. Kerosakan maknanya:
(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil
Contoh: "Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama 7 hari dan bersolat 2 rakaat di Maqam Ibrahim."
(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah. Akal menetapkan bahawa Allah suci daripada menyerupai makhluk
Seperti hadith:
"Bahawasanya Allah menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia menciptakan dirinya dari kuda itu."
"Allah mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya."
(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran
Contoh: "Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit."
(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal
Seperti hadith: "Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril."
(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu
Seperti hadith:
"Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya."
"Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu."
Al-Imam Ar-Razi berkata:
"Semua hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah Hadith Mawdhu’."
(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’e dan tidak pula dapat dita’wilkan
Contoh: "Anak zina tidak akan memasuki Syurga sampai 7 keturunan."
Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:
"Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (Al-An'am: 64)
(g) Menyalahi Hadith Mutawatir
Contoh: "Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka ambillah dia sama ada saya mengkhabarkannya ataupun tidak."
Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir:
"Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka." (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)
(h) Menyalahi kaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah
Contoh: "Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi lelaki lalu diberi nama Muhammad, maka dia dan anaknya di dalam Syurga."
Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.
(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi SAW
Umpamanya hadith yang menerangkan bahawa Nabi SAW memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufyan, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan Abu Sufyan memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah.
(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya
Misalnya hadith: Kata Ali: "Aku menyembah Allah bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah oleh seseorang dari umat ini 5 tahun atau 7 tahun."
Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.
(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil
Misalnya:
"Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina 1,000 jami’ (masjid)."
"Barangsiapa mengucapkan Laa ilaha Illallah, maka Allah menjadikan untuknya seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah dan bagi tiap-tiap lidah 70,000 bahasa yang mereka beristighfar dengannya untuknya."
"Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala 70 orang Nabi."
(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil
Umpamanya: "Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah ia masuk Neraka selama 70 tahun."
(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai
Demikianlah ciri-ciri Hadith Mawdhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Mawdhu’ dapat dikenal dengan mudah.
Ar-Rabi’ mengatakan:
"Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu."
Perkataan Ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan siang.
Dan Al-Imam Ibn Al-Jawzy pula berkata:
"Hadith Mungkar yakni Hadith Mawdhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan kebiasaannya tidak diterima oleh hati."
Allahu a'lam bisshawab
*Dipetik dari kitab Himpunan Hadith Dha'if dan Mawdhu’, susunan Drs Abdul Ghani Azmi Haji Idris
dari: http://dhanysarip.blogspot.com/2005/11/ciri-ciri-hadith-maudhu-palsu.html
0 komentar:
Posting Komentar