Assalamualaikum , Boleh ustaz huraikan apa yang dikatakan hadis 'mauquf' dan hadith marfu'. Apakah kekuatan kedua dua hadith ini dan apakah boleh sesaorang itu beramal dengannya? Jazakallah.
Jawaban :
Hadith Marfu' (الحديث المرفوع)
Ialah hadith yang disandarkan kepada Nabi saw. Ia perlu dilihat kepada sanad hadith tersebut apakah ia sahih ataupun tidak.
Hadith Mauquf (الحديث الموقوف)
ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat Nabi saw. Dinamakan Mauquf kerana periwayatannya terhenti setakat sahabat, dan tidak kepada Nabi saw. Ia dinamakan hadith kerana sangkaan barangkali sahabat itu mendengarnya dari Nabi saw. Ia juga perlu dinilai terlebih dahulu kesahihan benarkah ia datang dari sahabat. Setelah dipasti kebenarannya, maka ia pula terbahagi kepada dua :
Pertama : Hadith mauquf yang ada bukti yang cukup untuk mendakwanya datang dari Nabi saw. Bukti-bukti tersebut ialah :
1- Hadith tersebut menyebut perkara-perkara tauqifi (توقيفي)yang tidak ada ruang untuk akal memikirkannya. Seperti penentuan waktu solat, kadar zakat, penjelasan tentang sebab turunnya ayat al-Quran, perkara-perkara yang akan berlaku pada masa akan datang, hal-ehwal akhirat. Sebagai contoh perkataan Ibn 'Abbad r.a. :
Maksudnya : "(orang-orang Muslimin) benar-benar akan menghiasi (masjid-masjid) mereka, sepertimana orang-orang Yahudi dan Nasrani menghiasinya (tempat ibdat mereka)." (al-Bukhari) Hadith ini walaupun ia hanya terhenti setakat Ibn 'Abbas, Namun ia dihukumkan sebagai marfu' kepada Nabi saw, kerana mustahil sahabat Nabi mereka-reka cerita tentang peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang melainkan ia benar-benar mendengarnya dari Nabi saw.
2- Perkataan sahabat yang mengatakan : "Adalah kami dahulu melakukan perkara itu di zaman Nabi saw" atau apa perkataan yang seumpama dengannya. Jika hadith mauquf itu mengandungi perkataan sebegini maka dia hukumkan sebagai marfu', kerana hadith ini menunjukkan perkara itu dilakukan berulang-ulang. Maka mustahil perkara yang berlaku berulang-ulang tidak sampai kep pengetahuan Nabi saw. Apabila perkara itu menunjukkan ianya sampai ke pengetahuan Nabi saw, namun baginda tidak mengingkarinya, ia menunjukkan adanya pengakuanatau persetujuan dari baginda. Maka ia adalah sebahagian daripada sunnah. Sebagai contoh hadith dari Jabir katanya yang bermaksud :
"Adalah kami (di zaman Nabi saw) Na'zil (نعزل - mengeluarkan air mani di luar faraj isteri), sedang (ketika itu zaman) al-Quran diturunkan." (al-Bukhari)
3- Perkataan sahabat : Kami diperintahkan untuk melakukan perkara itu... atau Kami dilarang dari perkara itu... atau sahabat mengatakan Daripada sunnah begitu dan begitu... Contohnya Mus'ab bin Amir berkata : "Aku bersebahyang disebelah bapa ku (sahabat Nabi saw), lalu aku meletakkan dua tanganku diantara dua peha. Lalu bapaku melarangku dan berkata : Kami juga dahulu melakukannya, lalu kami dilarang melakukannya dan kami diperintahkan untuk meletakkan dua tangan diatas lutut (ketika rukuk)"
Kedua : Hadith mauquf yang membicarakan perkara yang ada ruang untuk akal memikirkannya. mungkin perkataan sahabat itu adalah pendapatnya sahaja, bukan dari Nabi saw. Maka ini tidak boleh dijadikan hujah.
wallahu a'lam.
http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=416
0 komentar:
Posting Komentar