Tampilkan postingan dengan label Hadist. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Hadist. Tampilkan semua postingan

Mengenali Hadith Mawdhu’ (Palsu)

Selasa, 29 Desember 2009

Hadith-hadith Mawdhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:


1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat hadith itu sendiri

Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdul Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.


2. Perawinya terkenal pembohong

Sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang tsiqah (dipercayai).


3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah

Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadith dari seorang guru, yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu, atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia, ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tersebut.


Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada Ibn Hibban, maka Ibn Hibban bertanya:

“Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibn Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”


Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar hadith-hadith Nabi dari Nabi SAW atau dari sahabat-sahabat Nabi SAW, padahal mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi SAW dan para sahabat meninggal dunia.


4. Motif yang mendorong membuat hadith palsu itu

Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau sebagainya.

Contoh-contohnya:

"Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang."

Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.

"Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan."

Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab Syafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriyyah.

Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Mawdhu’ pada sanadnya. Selain itu Hadith Mawdhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:


1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal


2. Kerosakan maknanya:


(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil

Contoh: "Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama 7 hari dan bersolat 2 rakaat di Maqam Ibrahim."


(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah. Akal menetapkan bahawa Allah suci daripada menyerupai makhluk

Seperti hadith:

"Bahawasanya Allah menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia menciptakan dirinya dari kuda itu."

"Allah mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya."


(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran

Contoh: "Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit."

(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal

Seperti hadith: "Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril."


(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu

Seperti hadith:

"Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya."

"Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu."

Al-Imam Ar-Razi berkata:

"Semua hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah Hadith Mawdhu’."


(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’e dan tidak pula dapat dita’wilkan

Contoh: "Anak zina tidak akan memasuki Syurga sampai 7 keturunan."

Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:

"Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (Al-An'am: 64)


(g) Menyalahi Hadith Mutawatir

Contoh: "Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka ambillah dia sama ada saya mengkhabarkannya ataupun tidak."

Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir:

"Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka." (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)


(h) Menyalahi kaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah

Contoh: "Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi lelaki lalu diberi nama Muhammad, maka dia dan anaknya di dalam Syurga."

Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.


(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi SAW

Umpamanya hadith yang menerangkan bahawa Nabi SAW memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufyan, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan Abu Sufyan memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah.


(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya

Misalnya hadith: Kata Ali: "Aku menyembah Allah bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah oleh seseorang dari umat ini 5 tahun atau 7 tahun."

Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.


(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil

Misalnya:

"Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina 1,000 jami’ (masjid)."

"Barangsiapa mengucapkan Laa ilaha Illallah, maka Allah menjadikan untuknya seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah dan bagi tiap-tiap lidah 70,000 bahasa yang mereka beristighfar dengannya untuknya."

"Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala 70 orang Nabi."


(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil

Umpamanya: "Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah ia masuk Neraka selama 70 tahun."


(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai


Demikianlah ciri-ciri Hadith Mawdhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Mawdhu’ dapat dikenal dengan mudah.

Ar-Rabi’ mengatakan:


"Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu."


Perkataan Ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan siang.


Dan Al-Imam Ibn Al-Jawzy pula berkata:


"Hadith Mungkar yakni Hadith Mawdhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan kebiasaannya tidak diterima oleh hati."



Allahu a'lam bisshawab


*Dipetik dari kitab Himpunan Hadith Dha'if dan Mawdhu’, susunan Drs Abdul Ghani Azmi Haji Idris

dari: http://dhanysarip.blogspot.com/2005/11/ciri-ciri-hadith-maudhu-palsu.html

Hadith Mauquf' dan Marfu'


Pertanyaan :


Assalamualaikum , Boleh ustaz huraikan apa yang dikatakan hadis 'mauquf' dan hadith marfu'. Apakah kekuatan kedua dua hadith ini dan apakah boleh sesaorang itu beramal dengannya? Jazakallah.


Jawaban :


Hadith Marfu' (الحديث المرفوع)


Ialah hadith yang disandarkan kepada Nabi saw. Ia perlu dilihat kepada sanad hadith tersebut apakah ia sahih ataupun tidak.


Hadith Mauquf (الحديث الموقوف)


ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat Nabi saw. Dinamakan Mauquf kerana periwayatannya terhenti setakat sahabat, dan tidak kepada Nabi saw. Ia dinamakan hadith kerana sangkaan barangkali sahabat itu mendengarnya dari Nabi saw. Ia juga perlu dinilai terlebih dahulu kesahihan benarkah ia datang dari sahabat. Setelah dipasti kebenarannya, maka ia pula terbahagi kepada dua :


Pertama : Hadith mauquf yang ada bukti yang cukup untuk mendakwanya datang dari Nabi saw. Bukti-bukti tersebut ialah :


1- Hadith tersebut menyebut perkara-perkara tauqifi (توقيفي)yang tidak ada ruang untuk akal memikirkannya. Seperti penentuan waktu solat, kadar zakat, penjelasan tentang sebab turunnya ayat al-Quran, perkara-perkara yang akan berlaku pada masa akan datang, hal-ehwal akhirat. Sebagai contoh perkataan Ibn 'Abbad r.a. :

Maksudnya : "(orang-orang Muslimin) benar-benar akan menghiasi (masjid-masjid) mereka, sepertimana orang-orang Yahudi dan Nasrani menghiasinya (tempat ibdat mereka)." (al-Bukhari) Hadith ini walaupun ia hanya terhenti setakat Ibn 'Abbas, Namun ia dihukumkan sebagai marfu' kepada Nabi saw, kerana mustahil sahabat Nabi mereka-reka cerita tentang peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang melainkan ia benar-benar mendengarnya dari Nabi saw.


2- Perkataan sahabat yang mengatakan : "Adalah kami dahulu melakukan perkara itu di zaman Nabi saw" atau apa perkataan yang seumpama dengannya. Jika hadith mauquf itu mengandungi perkataan sebegini maka dia hukumkan sebagai marfu', kerana hadith ini menunjukkan perkara itu dilakukan berulang-ulang. Maka mustahil perkara yang berlaku berulang-ulang tidak sampai kep pengetahuan Nabi saw. Apabila perkara itu menunjukkan ianya sampai ke pengetahuan Nabi saw, namun baginda tidak mengingkarinya, ia menunjukkan adanya pengakuanatau persetujuan dari baginda. Maka ia adalah sebahagian daripada sunnah. Sebagai contoh hadith dari Jabir katanya yang bermaksud :

"Adalah kami (di zaman Nabi saw) Na'zil (نعزل - mengeluarkan air mani di luar faraj isteri), sedang (ketika itu zaman) al-Quran diturunkan." (al-Bukhari)


3- Perkataan sahabat : Kami diperintahkan untuk melakukan perkara itu... atau Kami dilarang dari perkara itu... atau sahabat mengatakan Daripada sunnah begitu dan begitu... Contohnya Mus'ab bin Amir berkata : "Aku bersebahyang disebelah bapa ku (sahabat Nabi saw), lalu aku meletakkan dua tanganku diantara dua peha. Lalu bapaku melarangku dan berkata : Kami juga dahulu melakukannya, lalu kami dilarang melakukannya dan kami diperintahkan untuk meletakkan dua tangan diatas lutut (ketika rukuk)"


Kedua : Hadith mauquf yang membicarakan perkara yang ada ruang untuk akal memikirkannya. mungkin perkataan sahabat itu adalah pendapatnya sahaja, bukan dari Nabi saw. Maka ini tidak boleh dijadikan hujah.


wallahu a'lam.




http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=416

BERAMAL DENGAN HADITH DHAIF

BOLEHKAH BERAMAL DENGAN HADITH DHAIF DALAM FADHAIL A’MAL?


Muqaddimah

Ini adalah sebuah bahas kecil berkenaan dengan hukum beramal dengan hedith-hadith dhaif. Ia dicedok dari beberapa buah kitab yang antara terpentingnya ialah kitab-kitab Syeikh Nasaruddin al- Albany rahimahullah, muhaddith kurun ini, yang telah menghabiskan sisa-sisa usianya dalam berkhidmat untuk hadith Nabi saw yang dicintai ini dan mempertahankannya. Dan saya muatkan dalam bahas ini antara yang terpenting sahaja dari pandangan-pandangan ulama dalam bidang ini dengan dalil-dalilnya demi meringankan para pembaca..


Adapun maudhu ini malangnya telah diambil ringan oleh kebanyakan orang, termasuklah para cendikiawan, asatizah, khatib dan dai sedangkan ia sebenarnya merupakan perkara yang asas lagi penting dalam ugama Allah yang suci ini kerana hadith-hadith Nabi saw merupakan wahyu kedua bagi umat Islam selepas Al-Quran yang diperintahkan untuk digigit benar-benar dengan gigi-geraham. Namun al-haq itu wajib disampaikan walaupun pahit demi melaksanakan amanah ilmu Allah.kerana setiap insan akan ditanya tentang ilmunya dan apa yang diamalkan darinya. Yang benar adalah dari Allah dan yang silap dari diri saya sendiri dan dari syaithan. Wallahu A’lam.


Benarkah beramal dengan hadith dhaif dalam fadhail a’mal tidak ada khilaf ?


Telah masyhur dikalangan ahli ilmu dan penuntut-penuntutnya bahawa hadith dhaif boleh diamalkan dalam bab fadhail amal. Mereka menyangka tidak ada sebarang khilaf dalam masalah ini. Bagaimana tidak, sedangkan Imam Nawawi rahimahullah telah menukilkan ''' kesepakatan atas perkara ini dalam lebih dari sebuah kitab-kitabnya.


Namun naqalnya ini perlu diteliti, kerana khilaf dalam masalah ini maklum, bahkan sebahagian ulama muhaqqiq berpendapat hadith-hadith dhaif tidak boleh diamalkan langsung, baik dalam hukum ahkam mahupun dalam fadhail.


Ulama-ulama yang melarang


Antara mereka yang berpendapat sedemikian, Imam Yahya bin Main, Abu Bakar bin Araby., dan zahir mazhab Imam Bukhary dan Muslim dan ia merupakan mazhab Ibnu Hazm rahimahumullah. Demikian juga pendapat Ibnu Hajar Al-Asqalany yang tidak asing lagi; pengarang Bulughul Maraam, Fathul Bary, Al-Ishabah, Lisanul-Miizan dll, maka beliau meletakkan syarat-syarat yang penting untuk membolehkan beramal dengannya yang mana jika benar-benar diikuti hampir sahaja tidak membolehkannya langsung.


Syarat-syarat Ibnu Hajar rahimahullah (773-852H)


1.. Hadith tersebut tidak merupakan hadith yang maudhu.

2.. Hendaklah orang yang beramal dengannya mengetahui bahawa ia hadith dhaif.

3.. Tidak menyebarkan amalannya dengan hadith dhaif tersebut.

4.. Dhaifnya tidak terlalu lemah yang bukan diriwayatkan oleh pendusta atau yang telah banyak kesilapannya.

5.. Hadith tersebut termasuk dibawah asal yang am, (dalam syara'), bukan yang tidak mempunyai asal langsung.

6.. Pengamalnya tidak mengiktikadkan kebenaran hadith tersebut supaya tidak menasabkan kepada Nabi saw apa yang tidak disabdakannya.


Berkata Imam Ibnu Hajar setelah itu “ Hendaklah seorang itu berwaspada dari termasuk dalam sabda Nabi saw ‘ Barangsiapa meriwayatkan dariku sepotong hadith dilihatnya dusta maka dia termasuk seorang dari dua pendusta.’(Muqaddimah Muslim 1/ 8) .Bagaimana pula dengan orang yang mengamalkannya !! Tidak ada bezanya dalam beramal dengan hadith dalam hukum ahkam ataupun dalam fadhail, kerana semuanya syara’. “ (Tabyiin Al-A’jab m/s 3-4)


Berkata Syeikh AlBany rahimahullah :


‘Berkata Imam Ibnu Hibban dalam kitabnya ‘Ad-Dhuafa’ ‘dalam mensyarahkan hadith tadi :

‘Dalam khabar tadi dalil bahawa seorang muhaddith itu apabila meriwayatkan apa-apa yang tidak sah dari Nabi saw yang didustakan atas baginda sedang dia mengetahuinya, maka adalah dia seorang dari dua pendusta., namun zohir khabar ini lebih dashyat lagi, Nabi saw bersabda “ Barangsiapa meriwayatkan dariku sepotong hadith dan dia melihatnya sebagai dusta…” dan baginda tidak bersabda ‘dia yakin ianya dusta.


Maka setiap orang yang ragu-ragu terhadap apa yang diriwayatkan adakah ia sohih atau tidak, masuk dalam zohir khitob hadith ini.’ (Ad-Dhuafa’ : 1/7-8)


Jelaslah dari dua nukilan ini bahawa jika sekadar meriwayatkan sebuah hadith dhaif haram hukumnya, maka mengamalkannya lebih-lebih lagi hukumnya, tidak ada beza hukumnya dalam fadhail a’amal kerana Rasulullah saw tidak membezakan antara dua perkara tersebut . Dan ini jika diketahui yakin bahawa hadith tersebut dhaif atau terasa dalam hatinya hadith tersebut tidak sohih. Bagaimana dengan orang yang tidak tahu hadith yang ingin diriwayatkannya dhaif atau tidak ?


Beliau tetap berdosa kerana menisbahkan hadith tersebut kepada Nabi saw tanpa ilmu, maka dia masuk dalam ancaman Nabi saw “ Cukup bagi seseorang itu sebuah dusta kerana meriwayatkan setiap yang dia dengar.”(Muqaddimah Sohih Muslim hadith 5)


Dan telah diriwayatkan bahawa Imam Malik rahimahullah ,telah berkata :” Ketahuilah, tidak selamat seorang yang meriwayatkan setiap yang didengarinya, dan dia tidak sekali-kali akan menjadi seorang imam sedang dia meriwayatkan setiap yang dia dengar.


Komentar AlBany tentang syarat-syarat Ibnu Hajar rahimahumallah


Berkata AlBany setelah menyebutkan syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif yang diletakkan oleh Ibnu Hajar “ Dan syarat-syarat ini sangat mendalam maknanya dan penting sekali, jika diltizamkan oleh para pengamal hadith dhaif niscaya natijahnya ruang untuk mengamalkannya menjadi sempit atau tidak memungkinkannya langsung.


Dan penerangannya dari tiga wajah :-


Pertama : Syarat pertama menunjukkan bahawa wajib mengetahui hal hadith yang ingin diamalkannya, supaya dapat mengelakkan dari beramal dengannya jika kedudukannya sangat dhaif sekali.


Dan makrifah ini sukar buat kebanyakan orang dalam mengamalkan setiap hadith dhaif kerana kurangnya ulama hadith, lebih-lebih lagi pada zaman ini, dan yang kumaksudkan ialah ahli tahqiq yang tidak menceritakan orang ramai melainkan dengan yang thabit dari hadith Rasulullah saw; yang memberitahu mereka akan hadith-hadith dhaif dan ,mewaspadakan mereka darinya , bahkan mereka ini lebih sedikit dari segelintir. Allahul Musta’an. “


Beliau juga melanjutkan setelah membawa beberapa contoh ulama yang meriwayatkan atau mengamalkan hadith dhaif tanpa meneliti kedudukan dhaifnya dengan alasan hadith tersebut bukan dalam urusan hukum ahkam, hanya bab fadhail amal, lalu ternyata hadith-hadith tersebut jelas dusta atau maudhu’.


“ Kesimpulannya, iltizam dengan syarat ini membawa kepada meninggalkan amal dengan hadith yang tidak thabit sama sekali,sakeng sukarnya mengenal pasti dhaif yang sangat lemah dikalangan kebanyakan orang, hampir serupa dengan qaul yang kami pilih. (Tidak boleh beramal dengan hadith dhaif secara mutlak – walaupun dalam fadhail).


Kedua : “Hendaklah hadith dhaif itu termasuk dibawah asal yang am …”


Syarat ini menunjukkan bahawa pada haqiqatnya, amalannya itu bukanlah dengan hadith dhaif sendiri, tapi dengan asal yang am, sedangkan amal dengannya telah warid sama ada wujud hadith dhaif tadi ataupun tidak, bukan sebaliknya …


Ketiga : Syarat ketiga (Pengamalnya tidak mengitiqadkan kebenaran hadith tersebut …) bertemu dengan syarat pertama dimana wajib diketahui kelemahan hadith, supaya tidak di’tiqadkan kesahihannya…


Sebab-sebab tidak boleh beramal dengan hadith dhaif


Hadith dhaif hanya membawa zhon yang lemah dengan tanpa khilaf yang diketahui dikalangan ulama, maka bagaimana mungkin dikatakan boleh beramal dengannya sedang Allah telah mencelanya dalam lebih dari sepotong ayat didalam kitabNya.


Allah berfirman {… Sesungguhnya zhon tidak mencukupi dari al-haq sedikitpun.} [An-Najm : 28]


Dan Allah berfirman lagi : {Mereka tidak lain hanya mengikut zhon sahaja} [An-Najm : 23]


Dan Rasulullah saw telah bersabda : “ Awas kamu dari zhon (sangka-sangkaan) sesungguhnya zhon itu hadith yang paling dusta! “ (Bukhary dan Muslim).


Ketahuilah, mereka-mereka yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif tidak mempunyai sebarang dalilpun dari Kitab ataupun Sunnah.


Dan diantara keburukan pendapat ini, ia mengheret mereka dari hanya beramal dengannya dalam bab-bab fadhail kepada masuk kedalam hukum-ahkam syariah, bahkan dalam urusan akidah !! Inilah yang kita lihat sekarang ini dan akan kami jelaskan perkara ini dalam tulisan-tulisan yang akan datang insya Allah.


Oleh itu kami menasihati saudara-saudara kami orang-orang Islam disegenap pelusuk dunia dari timur kebaratnya, supaya tinggalkanlah beramal dengan hadith dhaif secara mutlaq dan hendaklah mereka mengarahkan tenaga dan semangat mereka kepada beramal dengan yang thabit dari Nabi saw, yang kaya dari yang dhaif.


Dan dalam berbuat yang demikian itu terselamatlah dari terjerumus dalam perdustaan atas Rasulullah saw, kerana kami dapati dari pengalaman, mereka yang bercanggah dalam masalah ini telah termasuk dalam yang kami sebutkan tentang perdustaan tadi, kerana mereka mengamalkan setiap yang mereka dengar atau baca, sedangkan Rasulullah saw telah mengisyaratkan kearah perkara ini dengan sabdanya : “ Cukup bagi seorang sebagai berdusta kerana meriwayatkan setiap yang didengar. “(Muqaddimah Sohih Muslim Hadith No. 5)


Dan kami pula mengatakan : “ Cukup bagi seorang sebagai kesesatan kerana mengamalkan setiap yang dia dengar. “


Kitab-kitab rujukan


1. Sahih Jamiu Shoghir m/s 56

2. Tamamul Minnah Fiit Ta’ilq a’laa Fiqhu Sunnah m/s 32-38

3. Silsilah Dha’iefah (muqaddimahnya) 1/47-51

4. Dan lain-lain lagi.

http://www.muhammadiyah.org.sg/articles/beramal_dengan_hadis_dhaif.htm